16 May 2011

Manusia Penyelesai Masalah?????

Semua manusia di muka bumi ini tidak terlepas daripada menghadapi masalah. Masalah sering dilihat sebagai satu bebanan hidup. Masalah sering membuatkan individu yang menghadapinya merasa tertekan dari segi fikiran, perasaan malah fizikal. Semakin  berat masalah, semakin berat bebanan yang ditanggung. Malah ramai yang membuat tindakan yang bodoh seperti membunuh diri apabila merasakan dirinya gagal menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Dalam mengharungi apa jua masalah, menyelesaikannya bukanlah perkara mudah. Malah walau sekecil manapun masalah tersebut manusia sebenarnya tiada upaya menyelesaikan masalah tersebut. Segala masalah yang tercetus, penyelesai masalah tersebut hanyalah Allah. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu, bukanlah manusia yang serba kelemahan. (bukan kaunselor, bukan pakar motivasi, bukan cikgu malah  bukan YB!!)

Namun begitu, janganlah pula kita enggan berusaha menyelesaikan sesuatu masalah sebaliknya letakkan diri kita sebagai pengurus masalah. Masalah yang datang harus diurus dengan sebaiknya lalu kesudahannya diserahkan pada Allah.

Lihatlah contoh Rasulullah saw mengurus masalah yang dihadapi baginda. Kisah yang terkenal, bagaimana baginda disakiti oleh seorang lelaki Quraisy dengan dilempar najis dan kotoran setiap kali baginda melalui depan rumahnya untuk berdakwah. Namun baginda tidak pernah putus asa walaupun perbuatan itu berulang kali di lakukan oleh lelaki Quraisy itu. Sehinggalah pada suatu hari, ketika melalui rumah lelaki itu, baginda tidak diganggu lagi. Baginda hairan lalu bertanya pada jiran-jiran lelaki tersebut akan keadaan lelaki tersebut. Baginda dimaklumkan bahawa lelaki itu sedang sakit dan berada di dalam rumah.

Rasulullah menziarahi lelaki itu, membawa makanan dan diberi makan kepada lelaki yang menyakitinya itu. Berkat tindakan Rasulullah yang mulia, akhirnya lelaki itu memeluk Islam di hadapan Rasulullah.

Dalam situasi yang lain, kita lihat sikap Rasulullah terhadap bapa saudaranya Abu Talib. Abu Talib merupakan penjaga Rasulullah semenjak kecil. Malah beliau merupakan pendukung utama usaha-usaha anak saudaranya dalam menyebarkan Islam sebaik sahaja anak saudaranya itu dilantik menjadi rasul. Namun begitu, beliau mati bukan sebagai muslim. Sungguhpun pelbagai usaha telah dilakukan oleh Rasulullah untuk bapa saudaranya menerima Islam, namun Allah tidak memperkenankan usaha baginda. Baginda redha dengan ketentuan Illahi terhadap bapa saudaranya itu.

Dalam kisah pertama, lihatlah  akan sikap Rasulullah dalam menghadapi masalah tersebut. Meskipun diganggu oleh lelaki tersebut, kegiatan dakwah tetap diteruskan seperti biasa. Lihatlah pula bagaimana Allah menyelesaikan perkara yang menganggu rutih harian Rasulullah. Allah mentakdirkan lelaki itu sakit dan mengerakkan hati Rasulullah melawat lelaki tersebut. Kesudahanya, lelaki itu tidak lagi menganggu Rasulullah malah terbuka pintu hati lelaki itu menerima Islam.

Dalam ertikata lain, apabila kita berserah pada Allah untuk menentukan kesudahan masalah yang dihadapi, maka Allah mempunyai pelbagai cara untuk mengatasinya. Akal manusia sangatlah terbatas, jadi langkah yang terbaik adalah mengurus masalah tersebut dengan sebaik mungkin dan serah kepada Allah. Allah lebih mengetahui apa yang baik untuk hambaNya.

Dalam situasi kehidupan Abu Talib, sungguhpun Rasulullah sangat ingin bapa saudaranya itu memeluk Islam, namun Allah menentukan sebaliknya. Sungguhpun Rasulullah bersedih, namun baginda redha dengan ketentuan Ilahi kerana pasti akan ada hikmahnya.

Justeru, setiap masalah yang dihadapi haruslah diurus dengan sebaik-baiknya dan serahkan kepada Allah untuk kesudahannya. Yakinlah bahawa setiap ketentuan Allah itu ada hikamh buat diri kita. Sesungguhnya setiap masalah yang menimpa seseorang merupakan ujian daripada Allah. Ujian itu memberi peluang untuk setiap manusia membersihkan dosa-dosa yang terdahului dan mengangkat darjatnya.

No comments:

Post a Comment