5 May 2011

Musibah dan nikmat ujian Allah

(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah) , Allah tidak suka akan tiap-tiap orang yang sombong takbur, dan membanggakan diri. (al-hadid 23)




Huraian
Sebenarnya musibah dan nikmat sudah ditetapkan oleh Allah swt sejak azali lagi iaitu sebelum manusia dilahirkan ke dunia. Bagi Allah tidak ada kepayahan untuk menentukan ketetapan nasib setiap individu kerana Dia adalah pencipta segala alam ini.

Allah memaklumkan semua ini kepada kita supaya manusia tidak bersedih hati atau berduka cita apabla ditimpa dengan sesuatu malapetaka atau musibah dan tidak pula menyombong diri apabila dianugerahkan dengan nikmat yang banyak.

Sudah menjadi kebiasaan seseorang itu mudah berputus asa apabila sesuatu musibah berlaku ke atas dirinya seperti kehilangan orang yang tersayang, jatuh bankrap, jatuh sakit yang tiada harapan untuk sembuh dan sebagainya.

Begitu juga apabila seseorang itu dilimpahi dengan pelbagai nikmat seperti mendapat kemewahan harta, berjaya dalam perniagaan dan sebagainya. Mereka akan mudah lupa diri dan bersikap sombong.

Dengan pemberitahuan ini, Allah mengharapkan sekurang-kurangnya menjadi penawar dan motivasi kepada mereka yang terlibat dengan musibah dan menjadi peringatan kepada mereka yang diberi nikmat dan kesenangan.

Sudah menjadi tabiat manusia muduh berputus asa dan berduka cita apabila ditimpa dengan pelbagai musibah sebaliknya menyombong diri apabila diuji dengan kemewahan dan rezeki yang melimpah ruah.

Hanya manusia yang sentiasa mengingati Allah tidak akan terikut-ikut dengan rentak nafsu yang mazmumah walau sebanyak mana sekalipun ujian ditimpa kepada mereka.

*sumber JAKIM, Utusan Malaysia 15 April 2011

No comments:

Post a Comment