26 May 2011

Selawat ~ Bukti Cinta Kepada Nabi Muhammad SAW


Merindui dan mencintai sesorang memerlukan bukti. Bukti cinta kita kepada Rasulullah ialah dengan berselawat. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Azhab, ayat 56, yang bermaksud "Sesungguhnya Allah dan malaikatnNya berselawat kepada Nabi Muhammad. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya."

Dalam ayat tersebut, Allah menyeru orang yang beriman agar banyak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. Orang yang lalai daripada menyebut nama Baginda, maka itu tanda iman orang yang tersebut masih lemah atau tiada iman langsung di dalam hatinya.

Allah akan melipatgandakan pahala orang yang berselawat sebanyak 10 kali ganda. Abdullah bin Amru bin al-As melaporkan, dai akan pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sesiapa yang membaca selawat buat saya satu kali, Allah akan berselawat kepada orang itu dengan 10 selawat." (HR. Imam Muslim).

Disamping menjadi orang yang dimuliakan Allah, orang yang banyak berselawat akan berada dekat dengan Nabi  Muhammad SAW di dalam syurga. Abdullah bin Mas'ud melaporkan, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Orang yang paling dekat kepada saya nanti di kiamat adalah orang yang paling banyak membacakan selawat buat saya." (HR. Imam Muslim).

Membaca selawat juga adalah prasyarat sesuatu doa dimakbulkan oleh Allah. Fadhalah bin Ubaid berkata, "Nabi Muhammad SAW pernah mendengar orang yang berdoa semasa dalam sembahyang, tetapi tidak memuji-muji Allah, dan tidak membaca selawat buat Nabi Muhammad SAW. Lalu baginda bersabda, "Tergesa-gesa sekali orang ini." Kemudian baginda memanggil orang itu dan bersabda, "Apabila salah seorang daripada saudara semua hendak berdoa, mulakan dengan memuji-muji Allah, kemudian bacakan selawat buat saya, dan kemudian berdoalah semahu-mahunya." (H.R Iman Abu Daud dan Tarmizi).

Orang yang tidak suka berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah orang yang dipandang hina dan rendah oleh Baginda. Baginda bersabda, "Sungguh rendah dan hina kedudukan seseorang yang tidak suka membacakan selawat bagi saya apabila dia mendengar nama saya disebut." (Hadis Hasan direkodkan oleh Imam Tarmizi).

Ali bin Abu Talib berkata, "Nabi Muhammad SAW pernah berkata, "Orang bakhil adalah orang yang apabila dia mendengar nama saya disebut, dia tidak membaca selawat buat saya." (Hadis Hasan direkodkan oleh Imam Tarmizi).

Abu Mas'ud al-Badri melaporkan, katanya "Sewaktu kami sedang berada dalam majlis Saad bin Ubadah, Nabi Muhammad SAW datang menemui kami. Bashir bin Saad bertanya kepada Baginda, "Allah menyuruh kami membacakan selawat buat tuan, wahai Rasulullah. Bagaimanakah cara membacakan selawat itu?" Baginda diam sebentar, sehingga kami berasa alangkah baiknya tadi jika Bashir tidak menanyakan hal itu, tetapi kemudian Baginda bersabda yang maksudnya, "Ya Allah, berikanlah selawat buat Muhammad, dan buat keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan selawat buat keluarga Ibrahim. Dan berikanlah berkat buat Muhammad, dan buat keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberikan berkat buat keluarga Ibrahim. Sesungguhnya, Engkaulah Tuhan Yang Maha Terpuji dan Mulia). Adapun tentang salam itu, bacalah sebagaimana yang saudara ketahui." (Hadis sahih yang direkodkan oleh Imam Muslim)

No comments:

Post a Comment